MCMC lawat 359 premis peranti komunikasi seluruh negara untuk terangkan keperluan pemerakuan dan label demi keselamatan pengguna.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melawat 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberikan penerangan tentang keperluan pemerakuan dan label MCMC.
Lawatan itu dijalankan di bawah program “Direct Engagement” dari Jun 2024 hingga November 2025.
“Tindakan ini akan membantu mereka memahami langkah yang diambil bertujuan untuk memastikan peranti adalah selamat, asli, mematuhi standard serta serasi dengan rangkaian dan tidak mengganggu frekuensi,” menurut MCMC.
Maklum balas yang diterima daripada peniaga sepanjang aktiviti itu adalah sangat positif.
Mereka telah menyatakan komitmen, menyambut baik pendekatan turun padang MCMC dan akan mematuhi keperluan pemerakuan serta pelabelan peranti komunikasi.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara.
MCMC turut mengingatkan pengguna agar hanya membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC.
Untuk memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL).
Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store.
Pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan dan maklumat peranti.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cyl.gov.my,” menurut MCMC.
Perbuatan menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC ialah satu kesalahan.
Ia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama






