the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 7, 2025
23.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kerajaan Madani tidak bezakan politik dalam dasar, kata Zahid

Kerajaan Madani tidak membezakan kecenderungan politik dalam pelaksanaan dasar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Kerajaan Madani sentiasa mengamalkan pendekatan tanpa membezakan kecenderungan politik dalam pelaksanaan dasar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak pernah membezakan kawasan mengikut geografi politik dalam pelaksanaan dasar.

Beliau menegaskan kerajaan tidak pernah melihat perbezaan politik sebagai asas untuk membalas dendam.

“Kerajaan Madani tidak pernah melihat perbezaan politik sebagai asas untuk membalas dendam, tidak pernah,” katanya pada forum ‘Kerajaan Madani – Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan’ di sini.

Forum itu merupakan antara pengisian Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku.

Ahmad Zahid berkata pendekatan itu terbukti apabila negeri-negeri pembangkang juga menerima peruntukan besar melalui pelbagai lembaga kemajuan wilayah.

Beliau menambah UMNO akan terus mendukung Kerajaan Madani bagi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan agenda reformasi nasional.

“Insya-Allah saya menyerahkan diri saya dan parti saya untuk mendukung Kerajaan Madani hingga akhir penggal,” katanya.

Pada forum itu, beliau menggariskan pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan dalam kerajaan bagi memperkukuh transformasi perkhidmatan awam.

Antaranya ialah kementerian dan agensi diubah kepada pusat keuntungan berbanding pusat kos.

Pendekatan lintas fungsi juga dilaksanakan untuk memecah silo birokrasi dan meningkatkan keberkesanan dasar kerajaan.

Ahmad Zahid turut mengetengahkan pencapaian penting dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya melalui ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih TVET meningkat kepada 57.4% pada masa kini,” katanya.

Sasaran kerajaan adalah mencapai 70% menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Program Rancakkan Madani selama tiga hari menawarkan lebih 300 titik sentuhan perkhidmatan awam, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan promosi khas untuk pengunjung.

Program itu merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM).

Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 menghimpunkan pakar dasar dari sektor awam dan penggiat industri.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories