the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 7, 2025
23.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Perkeso cadang kerajaan negeri taja caruman 20 individu setiap DUN

Perkeso Kelantan cadang kerajaan negeri taja 20 individu setiap DUN untuk skim Lindung Kendiri, sasar bantu peniaga kecil dan pekerja tidak formal.

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mencadangkan kerajaan negeri menaja sekurang-kurangnya 20 individu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyertai Skim Caruman Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI).

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata inisiatif itu mampu membantu peniaga kecil, nelayan, usahawan mikro, penghantar makanan serta pekerja sektor tidak formal yang berpendapatan rendah.

Beliau berkata tajaan itu menyediakan perlindungan asas dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan caruman keselamatan sosial.

“Menerusi kerjasama ini kita mampu merekodkan sekurang-kurangnya hampir 900 pencarum melibatkan 45 kawasan DUN di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Keusahawanan dan Perdagangan negeri Datuk Md Anizam Ab Rahman pada Ogos lalu.

“Setakat ini kita masih menunggu sama ada cadangan ini diluluskan atau sebaliknya,” katanya pada Program Cakna Prihatin Perkasa Usahawan Mikro Wanita Kelantan Bangkit Berniaga di Kampung Badang.

Nora berkata penyertaan pencarum bagi LINDUNG KENDIRI di negeri ini hanya mencapai sekitar 40 peratus tahun ini.

Angka itu mewakili hampir 1,500 pencarum daripada sasaran asal kira-kira 4,000 pencarum baharu.

Beliau berkata angka itu menunjukkan masih ramai pekerja sektor tidak formal yang belum mencarum dan terdedah kepada risiko tanpa perlindungan.

“Pelbagai inisiatif libat urus sedang dipergiat termasuk jelajah kesedaran, program turun padang serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Perkeso berharap lebih banyak penyertaan dapat direkodkan pada tahun hadapan bagi memastikan golongan pekerja sendiri turut menikmati jaringan keselamatan sosial.

Terdahulu, Perkeso Kelantan menerima penyaluran wakalah zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah lebih RM51,000 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sumbangan itu diagihkan kepada 20 usahawan mikro.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories