Sunday, November 2, 2025
30.9 C
Malaysia
spot_img

10,000 polis bertugas jamin keselamatan PRN Sabah

The Sun Webdesk

Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri Sabah bermula 15 hingga 29 November.

TAWAU: Kira-kira 10,000 anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri Sabah bermula tarikh penamaan calon pada 15 November hingga hari pengundian 29 November ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata anggota dari Pejabat Polis Kontinjen Sarawak juga akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan untuk menambah kekuatan anggota bertugas sepanjang tempoh pilihan raya negeri berlangsung.

“Pembekuan semua cuti telah pun kita keluarkan, kecuali cuti yang dibenarkan itu kita semak berdasarkan case-by-case,” katanya selepas Program Kementerian Dalam Negeri MADANI: Inspirasi Malaysia di Dewan Terbuka Merotai Besar.

Saifuddin menyatakan beliau telah mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengenai kesiapsiagaan polis mendepani pilihan raya itu.

“Hal ini termasuk dari segi latihan, kesemuanya, terutama yang membabitkan mengawasi perjalanan peti undi, kawasan terpencil, kita telah menjalankan latihan dan simulasi, di samping taklimat bersama agensi lain,” jelasnya.

Beliau menekankan fungsi polis bukan sekadar mengenai keselamatan pengundi tetapi juga memastikan pilihan raya di Sabah dilihat sebagai ‘pesta demokrasi’.

“Mereka harus merasa senang untuk keluar mengambil bahagian menjalankan tanggungjawab, tidak perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan, ancaman, ugutan,” katanya.

Saifuddin turut berkata Program KDN MADANI: Inspirasi Malaysia merupakan program turun padang dilaksanakan setiap bulan oleh agensi di bawah KDN untuk memberi khidmat langsung kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau mengambil peluang untuk menekankan tentang pola jenayah semakin mengancam sekarang yang perlu untuk dibimbangi dan masyarakat harus lebih waspada adalah penipuan atas talian.

“Ramai tertipu dan kerugian wang ringgit, polis, jurutera termasuk juruterbang, jenayah penipuan dalam talian ini semakin menjadi-jadi,” ujarnya.

Menurut beliau, pada hari ini kementerian turun padang serta membawa peruntukan dengan tumpuan kepada beberapa kampung antaranya Kampung Kijang.

“Kemudahan termasuk masjid, sekolah, kemudahan tempat rekreasi orang kampung, sebanyak 1 juta ringgit peruntukan diturunkan melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan untuk Program MADANI,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img