Kerajaan Selangor perkenal elaun latihan industri RM1,500 sebulan untuk penuntut IPT di agensi dan anak syarikat negeri mulai tahun depan.
SHAH ALAM: Penuntut Institusi Pengajian Tinggi yang menjalani latihan industri di agensi kerajaan atau anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor akan menerima elaun RM1,500 sebulan mulai tahun hadapan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kadar baharu itu turut terpakai bagi penuntut di Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Peruntukan sebanyak RM1.5 juta disediakan bagi tujuan tersebut melibatkan 500 graduan dan mahasiswa Selangor.
BACA: Selangor bentang belanjawan RM3.23 bilion untuk 2026
“Program latihan amali yang sedia ada di pasaran memberikan elaun yang dilihat kurang berpatutan kepada mahasiswa serta graduan, ada yang menerima RM800 hingga RM900 sebulan sahaja,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan menambah perbezaan bayaran mengikut kadar sedia ada supaya penuntut menerima elaun lebih wajar.
Amirudin turut mengumumkan peruntukan RM17.378 juta bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Selangor.
Menerusi inisiatif tersebut, kerajaan negeri akan menanggung 50% yuran pengajian bagi 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.
“Dengan kata lain, kerajaan negeri menawarkan 50 peratus pendidikan percuma kepada anak-anak Selangor khususnya di UIS dan UNISEL,” jelasnya.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 untuk menawarkan pendidikan percuma. – Bernama






