FIFA isytihar Malaysia kalah 0-3 dalam tiga perlawanan Tier 1 kerana turunkan pemain tidak layak, FAM dikenakan denda CHF10,000.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah 0-3 dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
Tiga perlawanan terbabit ialah seri 1-1 menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei.
Keputusan kemenangan 2-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September juga dibatalkan.
Keputusan kemenangan 1-0 ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September turut diisytihar kalah.
FAM dalam kenyataan mengesahkan menerima hukuman baharu daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember.
Mesyuarat mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA kerana menurunkan pemain tidak layak.
FAM akan membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan alasan penuh keputusan tersebut.
Ini sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung perkara itu.
Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Rayuan itu membabitkan hukuman FIFA terhadap isu dokumentasi tujuh pemain warisan.
Pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan membawa kes ke CAS dibuat selepas FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan.
Dokumen setebal 64 muka surat dikeluarkan pada 3 November dan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Keputusan sebelumnya menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000). – Bernama








