Kerajaan kekalkan struktur SST sedia ada dan lakukan penambahbaikan untuk sistem percukaian lebih cekap, kata Timbalan Menteri Kewangan
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata langkah ini merupakan pendekatan kerajaan bagi mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar.
“Barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh rakyat secara amnya tidak dikenakan cukai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Lim berkata SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia lebih 40 tahun.
“SST juga dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan,” jelasnya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk C. Sivaraj mengenai pendekatan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula GST atau penambahbaikan SST.
Lim berkata kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak cukai GST yang bersifat lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata kerajaan mengambil maklum berkenaan kebaikan sistem GST.
“Kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST,” tegasnya mengulangi penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lim berkata langkah memperkenalkan semula GST memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang.
“Mungkin sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat mengemaskini sistem sebelum GST dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memutuskan kaedah percukaian paling sesuai.
“Kerajaan mempertimbangkan aspek struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada,” kata Lim.
Beliau berkata pertimbangan lain termasuk ruang penambahbaikan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan. – Bernama







