KPKT peruntuk RM2 juta untuk Projek I Lite U di Ipoh sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, tingkatkan tarikan pelancongan bandaraya.
IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperluas Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar atau I Lite U ke Bandaraya Ipoh sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan peruntukan RM2 juta.
Menteri Nga Kor Ming menyatakan projek itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan RM1 juta daripada KPKT dan jumlah sama diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh selepas pelancaran di kawasan sekitar ibu negara minggu lepas.
Beliau menekankan Program Pencahayaan Semula Bandaraya Ipoh dilaksanakan memandangkan Ipoh kini antara destinasi pelancongan domestik paling popular.
“Tahun lepas, kita berjaya menarik hampir 10 juta pelancong domestik dan antarabangsa, menjadikan Ipoh menduduki tempat pertama dari segi tarikan pelancongan domestik,” katanya dalam sidang media di Majlis Perasmian Taman Rekreasi MADANI, Taman Boon Bak.
Nga menambah Ipoh kini antara destinasi hujung minggu paling popular di Malaysia dengan keperluan 13,000 bilik hotel bagi menampung peningkatan pelancong.
“Bagaimanapun tawaran kita tak cukup, kita hanya ada 8,000 sahaja, jadi saya menggalakkan mana-mana pelabur boleh masuk Ipoh untuk bangunkan hotel, khususnya hotel yang mesra dan lestari alam,” ujarnya.
Dalam lawatan Sentuhan Kasih KPKT di Pasar Sementara Pasir Putih, Nga mengumumkan pasar itu siap sepenuhnya dengan peruntukan RM1.425 juta selepas terbakar tahun lepas.
Beliau turut mengumumkan peruntukan Sentuhan Kasih istimewa KPKT RM9 juta untuk pembinaan pasar baharu Pasir Putih.
“Satu pertandingan reka bentuk akan dianjurkan oleh MBI bersama Persatuan Arkitek Malaysia untuk memilih reka bentuk terbaik.”
“Supaya pasaran kita setanding penanda aras yang ditetapkan, berpotensi sebagai tarikan pelancongan seperti Pasar Pinji yang bakal siap 2027.”
“RM9 juta telah diluluskan dan kerja-kerja permulaan akan bermula tahun depan di bawah Rancangan Malaysia ke-13,” jelasnya. – Bernama










