DOSM laporkan pengeluaran getah asli turun 14.8% kepada 26,647 tan pada September 2025, dengan eksport susut 15.1% berbanding bulan sebelumnya.
KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan 14.8 peratus kepada 26,647 tan pada September 2025 berbanding 31,285 tan pada Ogos sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan penurunan tahun ke tahun lebih ketara iaitu 16.3 peratus berbanding September 2024.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pekebun kecil menyumbang 85.2 peratus pengeluaran manakala sektor estet hanya 14.8 peratus.
“Prestasi bagi tempoh suku ketiga 2025 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 36.9 peratus kepada 93,815 tan metrik berbanding suku kedua,” katanya.
Namun secara tahunan, pengeluaran suku ketiga 2025 mencatatkan penurunan 11.3 peratus berbanding tempoh sama 2024.
Jumlah stok getah asli pada September 2025 meningkat 0.7 peratus kepada 159,629 tan dengan kilang pemprosesan menyumbang 81.9 peratus.
Eksport getah asli turun 15.1 peratus kepada 33,548 tan pada September berbanding bulan sebelumnya.
China kekal destinasi utama eksport dengan sumbangan 44.2 peratus diikuti Emiriah Arab Bersatu (13.8 peratus) dan Jerman (12.8 peratus).
Eksport produk sarung tangan getah bernilai RM1.1 billion pada September 2025, turun 8.2 peratus berbanding Ogos.
Harga lateks pekat meningkat 1.5 peratus kepada 577.89 sen sekilogram manakala getah sekerap naik 1.7 peratus kepada 604.53 sen sekilogram.
Harga Getah Mutu Malaysia menunjukkan trend positif dengan kenaikan antara 1.4 peratus dan 2.1 peratus. – Bernama






