Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang menyeru kepimpinan kerajaan negeri jadikan integriti komponen wajib dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran.
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menyeru kepimpinan kerajaan negeri menjadikan integriti sebagai komponen wajib dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran.
Pengarahnya Mohd Shukor Mahmud berkata pegawai agensi kerajaan negeri perlu melaksanakan tugas dengan amanah dan mengelak konflik kepentingan.
Beliau menyeru semua pihak memperkukuh sistem audit, kawalan dalaman dan urus tadbir untuk mencegah risiko rasuah.
“Jadilah suara yang berani menolak budaya rasuah dan membudayakan nilai integriti dalam kehidupan seharian,” katanya dalam ucapannya.
Beliau menambah integriti adalah warisan paling bernilai manakala rasuah adalah musuh kemajuan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Pahang 2025 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Mohd Shukor berkata Pahang antara negeri yang menunjukkan komitmen tinggi dalam aspek tadbir urus.
Komitmen itu antaranya melalui peluasan program pendidikan integriti dan pengukuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus.
Sementara itu, Nazri dalam ucapannya berkata Unit Integriti Setiausaha Kerajaan Pahang telah melaksanakan 15 program pengukuhan integriti sepanjang 2025.
“Usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan pentadbiran yang cekap, telus dan bebas daripada unsur salah guna kuasa,” katanya.
Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa diraikan seluruh dunia pada 9 Disember sebagai simbol solidariti global menentang rasuah.
Hari Integriti pula berperanan sebagai mekanisme memperkukuh budaya kerja yang bersih, beramanah dan akauntabiliti.







