• 2025-07-20 10:23 PM

KUCHING: Seramai 20 pelajar tahfiz dan empat ustaz di Mahaad Tahfiz Husnul Khotimah, Semerah Padi, berjaya menyelamatkan diri selepas kebakaran melanda bahagian bumbung bangunan tahfiz petang tadi. Kejadian itu dilaporkan berlaku akibat litar pintas.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.47 petang.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya serta Padungan segera digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran hanya melibatkan bahagian bumbung bangunan tahfiz berstruktur kekal, manakala tingkat bawah tidak terjejas. Semua penghuni termasuk pelajar dan ustaz berjaya keluar tanpa kecederaan,“ menurut kenyataan rasmi.

Anggota bomba melakukan pemadaman secara ofensif dan defensif menggunakan sumber air dari pam jentera dan pili bomba berdekatan. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.48 petang.

Punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. - Bernama