KOTA TINGGI: Seramai 640 pelatih berjaya menamatkan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI), Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM, Tanjung Pengelih di sini hari ini.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy berkata kesemua perajurit muda itu berjaya menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL) tersebut yang dijalankan selama enam bulan.

“Seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan dan keyakinan mereka kepada anggota TLDM selaku perwira yang sedia berkorban untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

“Saya yakin dengan semangat juang dan komitmen saudara saudari kita mampu memikul tanggungjawab ini dengan baik,” katanya ketika berucap menyempurnakan istiadat perbarisan tamat latihan tersebut di sini hari ini.

Beliau turut berharap latihan yang diterima kesemua perajurit muda itu bakal menjadikan mereka The Navy People yang berkaliber dan berdisiplin dalam mencapai visi TLDM menjadi “Angkatan Laut yang Kredibel”.

“Kejayaan ini (menamatkan kursus) hasil komitmen penuh staf dan jurulatih serta berkat doa ibu bapa dan keluarga setiap perajurit muda. Ini masanya kita semua balas jasa mereka,” katanya.

Pada majlis itu Muhammad Ruzelme turut menobatkan Laskar Muda Ahmad Fairoz Ahmad Burhanuddin sebagai Perajurit Muda TLDM Terbaik Keseluruhan Lelaki dan Laskar Muda Noor Azizah Mohd Ali sebagai Perajurit Muda TLDM Terbaik Keseluruhan Wanita.