MERSING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim gemar untuk menyantuni rakyat secara bersahaja dan mesra tanpa protokol yang ketat.
Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata kebiasaannya apabila berangkat ke daerah di timur laut Johor itu, Sultan Ibrahim bukan hanya bersemayam di Istana Flinstones, di sini sebaliknya turut meluangkan masa mendampingi rakyat.
Menceritakan pengalamannya, beliau berkata pernah satu ketika dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat subuh di masjid, Seri Paduka Baginda bertitah untuk berhenti di warung bagi santapan sarapan pagi.
“Kadang-kadang tu kedai mamak pun ada (Tuanku bersarapan) dan pada masa berkenaan, kita akan mengaturkan secara ad hoc serta menyediakan apa (juadah) yang terdapat di premis tersebut, tanpa protokol ketat.
“Selain itu, Tuanku juga pernah mencemar duli ke eskpo jualan dan mendekati rakyat dengan berbual-bual dan minum bersama-sama...kemesraan itu berlaku begitu sahaja, bukannya diatur...begitulah mudah dan mesranya Tuanku bersama rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.
Jamil Hasni berkata Sultan Ibrahim juga raja yang prihatin dengan kebajikan rakyat dan Seri Paduka Baginda memanfaatkan waktu bertemu rakyat untuk mendengar sendiri aduan dan masalah mereka.
“Apabila terdapat aduan ad hoc pada masa berkenaan (misalnya), saya akan merujuk jabatan terlibat dan mempersembahkan kepada Tuanku berkaitan peruntukan yang kita peroleh dan kekangan untuk kita menaik taraf kawasan tersebut, berdasarkan aduan diterima.
“Seterusnya, Tuanku akan menilai laporan tersebut dan memberikan pandangan Seri Paduka Baginda, manakala saya akan selaraskan semula di peringkat jabatan,” katanya.
Jamil Hasni berkata antara aktiviti kegemaran Sultan Ibrahim ketika berangkat ke daerah pelancongan yang kaya dengan keindahan alam itu ialah menyelam dan pada masa sama Seri Paduka Baginda turut memberi pandangan mengenai kawasan yang perlu dibersihkan dan dipulihara termasuk batu karang.
“Tuanku bertitah untuk menyemak kawasan yang bersesuaian untuk menyelam misalnya selepas kawasan A, pergi ke kawasan B dan beri tempoh tertentu kerana mungkin berlaku kerosakan...oleh itu, kita ada giliran untuk pemuliharaan kawasan batu karang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata di sebalik perwatakan Seri Paduka Baginda yang tegas, Jamil Hasni berkata beliau tidak menyangka bahawa Sultan Ibrahim mempunyai sisi lain iaitu gemar membuat jenaka.
“Saya pernah mengikut Tuanku ke Perth, Australia dalam pertemuan dengan pegawai-pegawai dan seperti biasa, ia berprotokol...namun apabila waktu santapan Tuanku amat mesra.
“Malah, Tuanku pernah membuat teka-teki dengan saya dan beberapa pegawai lain, serta menawarkan pemberian istimewa jika kami dapat menjawabnya...memang lucu keadaan ketika itu...itu antara momen indah yang tak boleh saya lupakan,” katanya.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari “Di Sebalik Mahkota” pada 19 Julai.
Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.