TEMERLOH: Sebanyak 300 beg guna semula diedarkan oleh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) kepada pengunjung Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini sempena Kempen Bawa ‘Beg Guna Semula.
Ketua Pegawai Operasi Alam Flora Mohamad Muhazni Mukhtar berkata kempen itu adalah bagi menyedarkan orang ramai tentang impak negatif penggunaan beg plastik terhadap alam sekitar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem.
“Kita mahu mempromosikan penggunaan beg guna semula kepada orang ramai kerana beg plastik sekali guna yang digunakan sekarang sangat lama untuk diuraikan.
“Usaha ini bagi menyemarakkan kesedaran mereka dan kesannya kelak ia akan dilakukan secara konsisten demi melestarikan alam sekitar,“ katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen ‘Bawa Beg Guna Semula’ di Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini.
Kempen berkenaan kesinambungan kepada inisiatif yang telah dijalankan oleh Alam Flora pada Festival Ramadan di Putrajaya.
Dalam pada itu, Mohamad Muhazni berkata Pekan Sehari Temerloh dipilih sebagai lokasi kempen kerana statusnya sebagai pasar pagi Ahad terbesar dan terpanjang di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, dengan jarak 2.1 kilometer.
“Program yang kami lakukan dengan kerjasama pelbagai agensi ini bukan bermotifkan wang tetapi lebih kepada memberi kesedaran. Ia juga perlu sesuai dengan sasaran segmen pasaran selain kita perlu pergi kepada pengguna dan tidak hanya menunggu mereka datang kepada kita,“ katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh Rizal Mustafa berkata pihaknya menyambut baik kempen yang dilaksanakan oleh Alam Flora itu.
“Saya amat mengalu-alukan kempen Alam Flora seperti itu dan apa sahaja program yang memberi impak secara terus kepada orang ramai kita akan sokong,“ katanya - BERNAMA