KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran ikan bakar hari ini dihukum penjara lima tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya, tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan lelaki berumur 37 tahun itu menjalani hukuman secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 8 Dis 2022.

“Tertuduh juga perlu menjalani kaunseling pemulihan selama setahun serta pengawasan polis untuk tempoh setahun,” katanya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa, 11, di sebuah pangsapuri di Kepong pada 4 pagi pertengahan Ogos 2023 dan 2 pagi 2 Dis 2023 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapanya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan bergantung kepada ubat.

“Pengakuan salah ini menunjukkan tertuduh insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama.

“Ini kesalahan kali pertama tertuduh, oleh itu saya mohon mahkamah mempertimbang rayuan ini dengan sewajarnya,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias pula memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain kaunseling pemulihan selama setahun serta pengawasan polis untuk tempoh sama.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira dalam kes ini, mangsa adalah kanak-kanak berumur 11 tahun semasa kejadian serta hubungan tertuduh dengan mangsa.

“Tertuduh sepatutnya melindungi mangsa bukan mengambil kesempatan terhadapnya,” kata beliau.