• 2025-07-20 04:30 PM

BUKIT GANTANG: Ahli UMNO di semua peringkat perlu segera menghentikan budaya ‘politik sate’ jika mahu parti itu kembali kuat dan memenangi undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menggunakan analogi ‘politik sate’ bagi menggambarkan situasi perpecahan dalam UMNO, beliau menegaskan budaya itu antara penyebab kelemahan parti.

“Saya tekankan kepada perwakilan bahawa asas utamanya adalah kesatuan. Kena elak budaya politik nak mengapi-apikan, nak mewujudkan kabilah-kabilah dalam parti, nak mewujudkan persengketaan dalam kalangan pemimpin dan anak buah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.

Asyraf Wajdi turut menekankan UMNO perlu kembali kepada landasan perjuangan asal iaitu menjaga kepentingan agama, bangsa, dan tanah air.

“Apa-apa perkara yang mengganggu fokus utama UMNO, termasuk budaya ‘politik sate’, mestilah dihentikan,” tegasnya.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie. - Bernama