Your Title

KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau sedar buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,” telah ditapis Perpustakaan Negara Malaysia dan tidak dikategorikan sebagai buku agama.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika disoal peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Belia dan Sukan itu terhadapnya berhubung dua catatan Facebook yang dibuat beliau pada Mei 2017.

Sangeet: Saya ingin mendapat pengesahan bahawa Dr Kamarul sememangnya sedar bahawa buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,” telah pun dikatalogkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Cataloguing-in-Publication Data?

Kamarul Zaman: Betul.

Sangeet: Jadi, Dr Kamarul setuju dengan saya setelah ditapis Perpustakaan Negara Malaysia, buku ini telah dikatalog (dikategorikan) di bawah tajuk Yeoh, Hannah, 1979; Women Politicians-Malaysia dan Malaysia-Politics and Government.

Kamarul Zaman: Setuju.

Sangeet: Jadi, setuju saya katakan ia (buku berkenaan) tidak dikategorikan sebagai buku agama.

Kamarul Zaman: Setuju.

Kamarul Zaman yang merupakan defendan tunggal dalam kes saman itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa perkataan ‘Personal Journey’ bermaksud satu kisah dan perjalanan peribadi Ahli Parlimen Segambut berkenaan.

Sangeet: Memandangkan buku ini adalah ‘Personal Journey’, jadi tiada isu penyebaran (agama Kristian), dan Kamarul Zaman menjawab, tidak setuju.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Perbicaraan di hadapan Datuk Aliza Sulaiman bersambung esok.