KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas juruteknik sebuah syarikat produksi menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan 10 sebatan atas dua kesalahan memiliki 217.25 gram dadah, tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Zainal Abidin Mohd Ali, 46, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan 10 sebatan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan kedua. Hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Sept 2023,” kata hakim itu.

Hakim Azhar turut menasihati tertuduh agar berubah dan menjadi lebih baik untuk keluarga selepas menjalani hukuman.

Zainal Abidin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat bersih 0.25 gram dan 217.0 gram kanabis di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul di sini pada 1.30 tengah hari, 8 Sept 2023.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Peguam Zulkifli Awang merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya telah insaf dan memohon maaf atas kesalahan dilakukan.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor bahawa tertuduh mempunyai seorang anak berumur 11 tahun manakala isteri tertuduh terpaksa bekerja sebagai pengasuh dengan berpendapatan RM60 sehari bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata Zulkifli sambil menambah anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman memohon supaya Zainal Abidin dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi selain tertuduh mempunyai dua rekod jenayah lampau memiliki dadah.