MELAKA: Gerakan Belia 4B Malaysia berharap penetapan had umur belia kepada 30 tahun dapat diperhalusi semula menerusi perbincangan terbuka. Tujuannya adalah untuk memastikan kesinambungan kepimpinan berkualiti dalam pertubuhan belia di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, menyatakan bahawa walaupun pihaknya memahami rasional kerajaan dalam mengecilkan skop belia, terdapat kebimbangan mengenai impak dasar itu terhadap struktur kepimpinan.
“Kami menyambut baik sebarang usaha penambahbaikan namun dalam konteks had umur ini, kami berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membuka ruang dialog bersama semua pihak berkepentingan,” katanya selepas merasmikan program motivasi Lead@School di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad.
Mohd Ridhwan, yang juga Pengerusi World Youth Foundation, menekankan peranan penting pemimpin berusia 30 hingga 40 tahun sebagai penghubung antara generasi muda dan penggubal dasar.
“Bagi pertubuhan berskala besar, proses pembangunan pemimpin memerlukan masa. Jadi sekatan umur ini dikhuatiri akan menjejaskan kesinambungan serta daya tahan organisasi, terutama di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa isu ini telah dibincangkan sejak beberapa tahun lepas, tetapi penyelesaian tuntas masih belum dicapai. Beliau menyeru agar pelaksanaan dasar dilakukan secara berperingkat dan inklusif.
“Kami percaya kepada semangat kerjasama strategik antara pertubuhan belia dan KBS. Jika ada keperluan penyesuaian terhadap dasar, biarlah ia bersifat praktikal dan lestari,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa ketetapan had umur 30 tahun bagi belia akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan bahawa KBS telah mengadakan sesi libat urus serta memberikan sokongan dana untuk memudahkan transisi. - Bernama