• 2025-07-22 05:49 PM

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sedang menjalankan pemantauan 24 jam di tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang bagi memastikan kebakaran yang berlaku tidak merebak ke kawasan berisiko.

Operasi ini melibatkan 40 anggota dan pegawai yang bertugas dalam dua syif.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Zahidah Ali berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran di kawasan seluas hampir satu hektar pada 5.30 petang semalam.

“Kita terus melakukan teknik fire break atau memisahkan kawasan kebakaran ketika memulakan operasi di situ dengan risiko untuk (api) merebak ke kawasan berkenaan juga adalah rendah,“ katanya.

Kebakaran ini berlaku berhampiran saluran paip gas, pencawang elektrik, dan kabel gentian optik bawah tanah.

Zahidah menekankan bahawa pihak berkepentingan turut terlibat dalam pemantauan bagi mengelakkan kebakaran merebak.

Pihak kontraktor juga telah menimbus tanah di atas timbunan sampah untuk mengurangkan asap, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Tinjauan mendapati asap tebal masih menyelubungi kawasan tersebut, menjejaskan jarak penglihatan pengguna jalan raya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini memaklumkan bahawa kebakaran sejak Ahad lalu menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di Balok Baru, Kuantan, dan Kemaman, Terengganu.

Bacaan IPU di Balok Baru menurun daripada 139 pada 8 pagi kepada 96 pada 3 petang. – Bernama