PUTRAJAYA: Seorang bekas penjual tebu terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini, menggantikan hukuman itu dengan hukuman penjara maksimum 40 tahun kerana membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia Muntik Bani, 15 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Murugan, 50, selepas membenarkan permohonan semakannya.

“Mahkamah mengetepikan hukuman mati dan memerintahkan hukuman penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 21 Okt 2009,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Muntik Bani, 36, yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini, pada 26 Okt 2009 setelah gagal memberikan tindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Murugan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2010 kerana membunuh Muntik di rumah lelaki itu di Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 hingga 20 Okt 2009.

Rayuan Murugan ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2012 dan 2014.

Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Murugan memohon hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun, atas alasan anak guamnya bergantung kepada ubat-ubatan dan pernah berada dalam keadaan koma selama enam bulan selepas menjalani pembedahan.

Peguam itu turut memohon hukuman mati diketepikan kerana fakta menunjukkan mangsa pernah menerima rawatan selama enam hari sebelum menemui ajal.

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling memohon hukuman mati dikekalkan, atas alasan Muntik dibunuh dengan cara yang kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata Murugan telah mengambil kesempatan terhadap wanita itu, yang datang ke rumahnya untuk mendapat tempat berlindung, sebaliknya didera sehingga mangsa mengalami kecederaan tulang belakang.

“Kecederaan tulang belakang itu menyukarkan mangsa untuk bergerak selepas dipukul bertalu-talu, kakinya disimbah air panas manakala kepalanya dibotakkan sedangkan dia tidak berbuat salah kepada lelaki itu.

“Wanita itu dikurung dalam tandas berkunci selama dua hari tanpa diberi makan dan minuman dan ketika tiba di hospital, matanya tidak boleh dibuka manakala tubuhnya luka dan dijangkiti kuman,” katanya.

How berhujah kecederaan dialami mangsa menyebabkan kematiannya, kerana semua organ utama dalam tubuh wanita itu gagal berfungsi disebabkan perbuatan Murugan.

Sementara itu, rakaman percakapan Muntik yang diambil oleh polis menyatakan, wanita itu yang berkahwin dan mempunyai tiga anak di Indonesia, telah menetap di negara ini hampir lima tahun dan pada asalnya bekerja di rumah majikan bernama ‘Miss Hung’.

Muntik memberitahu, ketika dia tinggal di rumah Murugan, dia dikurung dalam bilik air selama dua hari, dua malam tanpa diberi makanan dan minuman serta sering dipukul dan ditendang di belakang badan manakala tangan kanannya patah akibat dipukul dengan penyapu.