• 2025-07-22 07:31 PM

KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang bagi menyemak calon Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan pertimbangan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu perlu diselaraskan dengan pelbagai pihak bagi memastikan kesesuaian dan impaknya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat yang telah ditubuhkan, dengan fungsi berdasarkan terma rujukan masing-masing.

“Dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, terdapat substrategi untuk meneliti semula syarat pelantikan dan pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM sebagai langkah reformasi jangka panjang,“ katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Azalina menegaskan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM diatur di bawah Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 696).

Beliau menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai cadangan penubuhan JKPK bagi menilai calon Ketua Pesuruhjaya SPRM. – Bernama