PUTRAJAYA: Cadangan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam ialah pendirian peribadi beliau dan bukan mewakili parti DAP, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Ketua-ketua parti beliau sendiri mengatakan ia bukan pendirian parti tapi ia adalah pendirian beliau sendiri sebagai seorang Ahli Parlimen. Jadi bukan pendirian parti, Kabinet tidak pernah membangkitkan perkara ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata ketika ini sudah terdapat jawatankuasa harmoni di bawah Kementerian Perpaduan yang diwakili semua kaum dan agama di Malaysia.
“Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan,” katanya.
Chow ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu telah mencadangkan langkah berkenaan dan berpandangan langkah itu penting bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini serta memastikan tiada pihak terpinggir.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi seorang Ahli Parlimen.