TIBET: China secara rasmi memulakan pembinaan loji kuasa hidroelektrik terbesar dunia di bahagian hilir Sungai Yarlung Tsangpo, Wilayah Autonomi Tibet.
Projek bernilai 1.2 trilion yuan (kira-kira US$167.2 bilion) ini diumumkan oleh Perdana Menteri China Li Qiang pada Sabtu.
Menurut kenyataan Majlis Negara Republik Rakyat China, projek ini melibatkan lima loji kuasa hidroelektrik lata yang akan dibina oleh China Yajiang Group Co. Tenaga yang dihasilkan akan digunakan untuk keperluan tempatan dan dieksport ke luar negara.
Loji kuasa hidroelektrik terbesar dunia ketika ini ialah Sanxia (Three Gorges) di Sungai Yangtze dengan kapasiti 22.4 juta kilowatt.
Loji baharu di Tibet dijangka mempunyai kapasiti terpasang 60 juta kilowatt, hampir tiga kali ganda kapasiti Sanxia.
Projek ini telah menimbulkan kebimbangan di India, yang meminta China memastikan pembinaannya tidak menjejaskan kepentingan negara hiliran.
Sungai Yarlung Tsangpo mengalir ke India sebagai Sungai Brahmaputra sebelum masuk ke Bangladesh. - Bernama-Sputnik/Ria Novosti