BANGI: Dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan enam tahun ditemukan dalam keadaan tanpa pengawasan di tepi jalan berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Bangi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 11.57 pagi. “Dua beradik warga tempatan itu dibawa oleh orang awam ke Balai Polis Bangi untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam kenyataan.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut keluar dari rumah pengasuh tanpa pengetahuan semasa pengasuh sedang tidur. “Mereka ditemukan oleh orang awam tidak jauh dari kawasan perumahan,“ jelas Naazron.
Ibu bapa kanak-kanak itu kemudian dihubungi dan hadir ke balai polis kira-kira 2 petang. Kedua-dua mangsa diserahkan semula kepada mereka dengan selamat.
Polis memanggil lima individu termasuk pengasuh untuk diambil keterangan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kecuaian penjagaan.
Naazron menasihatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak bawah umur - BERNAMA