TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki dan merampas dua bot berserta barang kawalan yang cuba diseludup keluar ke negara jiran bernilai hampir RM100,000 di dua lokasi berasingan di perairan Tawau, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata tangkapan ke atas suspek serta rampasan barang itu dilakukan ketika pasukan peronda maritim menjalankan tugasan Ops Tiris dan Ops Pluto Timur.

Beliau berkata dalam kejadian pertama, sebuah bot kargo dikendalikan lelaki berusia 24 tahun yang di kesan bergerak menuju ke perairan sempadan Malaysia-Indonesia, ditahan di 0.6 batu nautika utara muara Sungai Melayu pada 1.45 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan 1,000 kilogram (kg) beras putih, 561kg minyak masak paket, 325 liter petrol, 48kg gula pasir dan empat tong gas LPG.

“Sebuah lagi bot kargo dikendalikan lelaki berusia 32 tahun turut ditahan di kedudukan 1.0 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau pada 2.30 petang dan didapati membawa kira-kira 250 liter diesel, kira-kira 200 liter petrol, 72 botol minuman keras pelbagai jenama dan 33 karton rokok tidak bercukai,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua juragan bot gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen sah berkaitan barang kawalan yang dibawa serta melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut diharap dapat menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999. - Bernama