SEPANG: Tiada unsur sabotaj atau serangan siber dikesan dalam gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing, menurut Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata isu itu dipercayai berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa.
“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,“ katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Mohd Shuhaily memaklumkan semua sistem autogate yang terjejas kini berfungsi sepenuhnya. Beliau juga memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelawat dan berjanji untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Gangguan sistem dilaporkan bermula Jumaat lepas dan berlanjutan hingga petang semalam, menyebabkan kesesakan di beberapa lokasi utama termasuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor.
Sebagai langkah mitigasi, AKPS mengaktifkan kaunter manual dan menambah anggota di pintu masuk terjejas bagi memastikan kelancaran operasi. - Bernama