KUALA LUMPUR: Seramai 34 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan telah tamat menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tempoh reman ke atas semua 34 individu itu berakhir hari ini.

“Seramai 127 orang lagi dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman dan kita menasihatkan mereka untuk tampil kepada polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata polis juga telah memperoleh lanjutan reman terhadap 24 ahli GISBH, termasuk pengurusan tertinggi organisasi itu, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula esok.

Selain itu, Razarudin berkata hasil siasatan mendapati kaedah perniagaan GISBH dipermudahkan melalui pegangan terhadap Aurad Muhammadiah versi organisasi tersebut, yang berlandaskan ketaksuban dan mendewakan pemimpin, sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata proses itu mirip seperti indoktrinisasi yang menjadi nilai kehidupan dan dipercayai serta dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikut GISBH.

“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut (GISBH) yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata hasil kolaborasi siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai yang sepatutnya, dan ini selari dengan siasatan pihak polis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967

Selain itu, pihaknya juga mengesan hantaran di Facebook yang didakwa mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISBH yang terjejas.

“Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut, yang dipercayai merupakan cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu (GISBH) ini,” katanya.

Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 Sept telah menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu. Sementara itu, dalam Op Global Fasa Empat pada Sabtu lepas, pelbagai jenis buku, dokumen, dan gambar yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam serta GISBH telah dirampas.

Setakat ini, lebih 300 individu, termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan.