KUALA SELANGOR: Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya anak perempuannya yang berusia lima tahun sehingga cedera.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh masing-masing berumur 32 tahun dan 26 tahun, membuat pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama melakukan penganiayaan dengan cara menyiram air panas, memukul, memijak dan mencubit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan itu.
Kesalahan terbabit dilakukan di sebuah rumah di Jalan Desiran Malawati, Kuala Selangor antara 13 Ogos hingga 4 September lepas.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar yang mengendalikan prosiding memohon supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman berat mengambil kira usia mangsa masih kecil yang seharusnya dilindungi oleh ibunya sendiri.
“Selain itu, mangsa akan mengalami trauma dan kesan psikologi berpanjangan. Justeru, hukuman setimpal amat perlu bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi juga orang awam supaya tidak mendera kanak-kanak,“ katanya.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana perlu menanggung adik-beradik mereka.
Nurul Mardhiah kemudian memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dua tahun secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 4 Sept lepas.
Mahkamah turut memerintahkan supaya pasangan itu yang masing-masing merupakan peniaga dan bekerja sendiri untuk menyempurnakan bon berlakuan baik selama dua tahun selepas hukuman berjalan.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan dipercayai didera oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu terbongkar selepas perbuatan terbabit diceritakan mangsa kepada neneknya yang kemudian memaklumkan kepada bapa kandungnya berusia 28 tahun.
Perkara itu membawa kepada penahanan ibu kandung mangsa pada 4 Sept lepas di rumahnya di sekitar Kuala Selangor manakala teman lelaki wanita itu diberkas di sebuah rumah di Sik, Kedah kira-kira pukul 4.30 petang.