PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dia mengesyaki anak lelakinya itu dicekup dan dilarikan orang semasa mereka menaiki tangga ke rumah mereka pada hari kehilangan kanak-kanak autistik itu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia tidak mendengar bunyi tapak kasut Zayn Rayyan atau orang berlari ketika mereka sedang menaiki tangga dari tingkat satu ke tingkat dua di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023.
“Kalau ada orang lari atau bawa anak saya, saya pasti akan dengar. Tapi waktu itu, tak ada bunyi langsung,“ katanya semasa memberi keterangan pada hari kedua prosiding membela diri dalam kes pengabaian kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bahawa tiada bukti menunjukkan Zayn Rayyan diculik pada hari kejadian.
Ismanira menjelaskan bahawa pada hari itu, dia berjalan di hadapan anaknya tetapi bergantung pada deria pendengaran untuk memantau pergerakan Zayn Rayyan yang berada di belakangnya.
“Saya tak selalu menoleh ke belakang, tapi saya dengar setiap langkahnya. Kalau dia lari, saya akan tahu,“ katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Zayn Rayyan tidak pernah dibiarkan keluar rumah tanpa pengawasannya dan mengenali jalan pulang ke rumah serta lokasi biasa seperti rumah datuk nenek dan sekolah.
Semalam, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Apartmen Idaman antara 5 dan 6 Disember 2023.
Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – Bernama