• 2025-07-20 06:06 PM

GAZA: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) sekali lagi menuduh Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang terhadap penduduk awam di Gaza.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi platform X pada Ahad.

“Pihak berkuasa Israel sedang membuat penduduk awam di Gaza kebuluran. Termasuk dalam kalangan mereka adalah sejuta kanak-kanak,“ kata UNRWA.

Agensi itu menggesa supaya sekatan Israel dihentikan serta-merta dengan seruan, “Akhiri sekatan: benarkan UNRWA membawa masuk makanan dan ubat-ubatan.”

Walaupun terdapat kewajipan undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan membenarkan penghantaran bantuan, Israel terus mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Gaza sejak 2 Mac.

Tindakan ini termasuk mengebom konvoi bantuan, menyekat lintasan sempadan, dan menyasarkan lokasi pengagihan bantuan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, puluhan kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran dan penyahhidratan.

Ratusan ribu lagi berdepan risiko tinggi susulan krisis kekurangan makanan yang semakin buruk dan sistem penjagaan kesihatan yang lumpuh.

Pada Sabtu, serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 136 penduduk Palestin, termasuk 38 individu yang sedang menunggu bantuan.

Tiga kanak-kanak juga dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang teruk. - Bernama-Anadolu