SUNGAI PETANI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarahkan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pelantikan sebuah syarikat katering tanpa Sijil Halal yang membekalkan makanan ke sebuah hospital kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau telah meminta Ketua Pengarah JAKIM menyiasat perkara itu tetapi belum boleh memberi kenyataan lanjut sehingga laporan lengkap diterima.
“Saya memang dah arahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk tengok isu itu dan beliau akan maklum (hasil laporan) kepada saya.
“Saya tak boleh nak respons sampai saya dapat laporan beliau,“ katanya selepas Program Ziarah MADANI Peduli di sini hari ini.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) memberikan kontrak bernilai RM25.64 juta kepada syarikat berkenaan untuk membekalkan makanan selama tiga tahun bermula Februari 2024.
Dalam program itu, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada mangsa kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik, Perak.
Mohd Lutfi Radzi, 37, dan keluarganya cedera dalam kejadian itu pada 9 Jun lalu.
“Keadaan kami semua sudah semakin baik. Isteri saya yang patah tulang rusuk masih dalam cuti sakit dan anak perempuan yang patah paha sudah boleh bergerak sendiri,“ kata Mohd Lutfi. – Bernama