KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penggubalan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) memulakan persiapan penting menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang dijadualkan pada 8 hingga 11 Julai.
Dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Tugas-tugas Khas, Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia Datuk Suhaimi Jaafar, mesyuarat ini memberi tumpuan kepada perbincangan dan pemuktamadan Kenyataan Bersama. Dokumen ini akan menjadi asas penting bagi pendirian bersama menteri-menteri luar ASEAN mengenai integrasi serantau, pembinaan komuniti, serta isu-isu global yang berkaitan.
Timor-Leste turut hadir sebagai pemerhati dalam mesyuarat ini, menandakan kerjasama erat antara negara-negara ASEAN dan rakan serantau.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Sebanyak 24 mesyuarat di peringkat menteri luar ASEAN akan diadakan, termasuk sesi bersama Rakan Dialog dan Sekretariat ASEAN.
Selain itu, Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV). Dipengerusikan bersama Jepun dan Palestin, mesyuarat ini akan membincangkan inisiatif bagi menyokong pembangunan semula Gaza dan Palestin.
Lebih 1,500 delegasi dijangka hadir, termasuk menteri luar ASEAN, Timor-Leste, serta wakil dari Rakan Dialog ASEAN dan Forum Serantau ASEAN (ARF).