TOKYO: Kerajaan Jepun kini diwajibkan di bawah undang-undang baharu untuk memperkukuh penggunaan bahasa isyarat, sebagai persiapan menjelang Deaflympics 2025 di Tokyo.
Undang-undang ini berkuat kuasa pada 25 Jun lalu selepas diluluskan Parlimen, menandakan kali pertama negara itu menggubal peraturan khusus berkaitan bahasa isyarat.
Menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, undang-undang ini mewajibkan kerajaan pusat dan tempatan mengambil langkah bagi memastikan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan penggunaan bahasa isyarat.
Ini termasuk menyediakan kemudahan aksesibiliti serta mempromosikan budaya bahasa isyarat dalam bidang seperti seni dan pendidikan.
Persekutuan Orang Pekak Jepun menyifatkan langkah ini sebagai “bersejarah” dan mengakui usaha generasi terdahulu yang memperjuangkan hak komuniti pekak.
“Melindungi bahasa isyarat akan menyinari masa depan golongan pekak dan mereka yang kurang pendengaran,“ kata persekutuan itu dalam kenyataan rasmi.
Selain itu, kerajaan juga digesa untuk menempatkan guru atau kakitangan yang mahir dalam bahasa isyarat bagi memastikan pelajar pekak mendapat pendidikan yang setara.
Sehingga kini, ordinan serupa telah dilaksanakan di 40 wilayah dan sekitar 550 majlis perbandaran di Jepun.
Deaflympics 2025, yang akan berlangsung di Tokyo dan beberapa lokasi lain, dijangka menarik penyertaan kira-kira 6,000 atlet dan pegawai dari 70 hingga 80 negara. - Bernama-Kyodo