IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak melaporkan sebanyak 536 kemalangan di tempat kerja berlaku dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025.
Daripada jumlah itu, 10 kes membabitkan kematian, empat kes hilang upaya kekal, dan 12 kejadian berbahaya.
Timbalan Pengarah JKKP Perak Basharuddin Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati kegagalan majikan menjalankan pentaksiran risiko dan langkah kawalan berkesan sebagai faktor utama kemalangan.
“Statistik penyakit dan keracunan pekerjaan juga mencatatkan 376 kes, dengan masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlebihan antara yang tertinggi,“ jelasnya semasa Seminar Pencegahan Kemalangan peringkat Perak.
Beliau turut memaklumkan bahawa 32 kes telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda mencecah RM449,300.
JKKP juga menggalakkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, majikan, dan NGO bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Ketua Seksyen Siasatan dan Pendakwaan JKKP Perak Ir Suhaidy Latip menekankan pentingnya penggunaan kelengkapan pelindungan diri (PPE) dan pematuhan prosedur kerja.
“Panduan jelas perlu disediakan untuk memastikan pekerja memahami cara kerja yang selamat,“ ujarnya. – Bernama