PUTRAJAYA: Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan mekanisme undang-undang terbaik bagi menangani isu lambakan kenderaan tersadai di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata antara perkara yang perlu dihalusi ialah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik kenderaan tersadai serta masalah yang dihadapi dalam mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit.

“Saya difahamkan sekiranya melebihi tempoh masa tertentu maka PBT ada kuasa untuk ambil (tarik kenderaan).

“Cuma, hal itu kita kena kaji dengan Akta Pengangkutan Jalan (1987) dan lihat bagaimana PBT di bawah kerangka undang-undang boleh laksanakan perkara berkenaan,“ katanya pada sidang media Prapelancaran Sambutan Hari Cuci Malaysia 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 2,112 kenderaan tersadai di 64 Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat.

Nga berkata semua pemilik kenderaan diingatkan untuk tidak membiarkan kenderaan tersadai kerana ia akan menyebabkan pelbagai masalah seperti menghalang lalu lintas, ruang parkir tidak mencukupi serta pencemaran.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi ini merupakan tanggungjawab kita bersama,“ katanya.