SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan kutipan RM4.5 juta hasil bidaan siri nombor pendaftaran NEE, yang dibuka selama lima hari berakhir 19 Nov.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata nombor pendaftaran NEE 9 dibida dengan harga tertinggi RM266,666 diikuti NEE 8 (RM188,123), NEE 3 (RM158,999), NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 (RM141,600).

“Siri NEE mendapat sambutan yang amat baik daripada pembida, dengan jumlah penyertaan keseluruhan adalah sebanyak 4,661 individu dengan 1,936 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

“Lima nombor paling banyak dibida ialah NEE 554 dengan 19 pembida, NEE 288 (16), manakala NEE 244, NEE 26 dan NEE 98 masing-masing sebanyak 15 pembida,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pembida yang berjaya menerima keputusan rasmi semalam, serta semua pembida yang menyertai bidaan itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid.