KUALA NERUS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan beberapa tindakan tambahan terhadap syarikat pengendali bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bulan lepas. Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu susulan laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Kita telah batalkan permit syarikat bas terbabit dan akan ada tindakan lanjut. Bagi pemandu, proses sedang berjalan di mahkamah, jadi JPJ tidak akan campur tangan,“ katanya selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) di Terengganu hari ini.
Laporan awal mendapati kelajuan bas melebihi dua kali ganda had laju sebagai antara punca kemalangan. Ia juga mendedahkan kelemahan sistemik dalam tadbir urus industri dan penguatkuasaan oleh pengendali serta agensi kawal selia.
Pada 9 Jun lalu, bas membawa 42 mahasiswa UPSI terbabit nahas dengan MPV Perodua Alza di Gerik, mengorbankan 15 penuntut.
Aedy Fadly menekankan perlunya kerjasama pelbagai agensi untuk memperbaiki keselamatan jalan raya. Beliau turut memaklumkan JPJ mengeluarkan 1,274 notis kompaun melalui Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar sejak 1 Julai, termasuk 1,000 notis kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar - Bernama