KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok seludup pelbagai jenama apabila merampas 919,600 batang rokok bernilai RM727,724 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Johor bulan lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah berkata pihaknya telah menemukan 663,800 batang rokok bernilai RM527,727 termasuk cukai di sebuah rumah teres tidak berpenghuni di Kluang, Johor pada 18 April lalu.

Beliau berkata operasi pada 19 April pula menemukan sebanyak 255,800 rokok berjumlah RM199,997 termasuk cukai di sebuah rumah kampung di Paloh, Johor.

“Kita telah memantau lokasi kediaman berkenaan selama beberapa hari selepas menerima aduan daripada orang awam tetapi tiada penghuni yang dikesan malah JKDM mendapati modus operandi sindiket ialah menggunakan premis tidak berpenghuni untuk menyimpan rokok yang diseludup dari negara jiran.

“Rokok berkenaan disyaki dibawa masuk menggunakan laluan laut untuk dipasarkan sekitar Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur,“ katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua pemilik kediaman itu sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Ribuan meminta masyarakat membantu JKDM memerangai jenayah penyeludupan antaranya rokok, minuman keras dan mercun kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, JKDM menyeru orang awam memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 dengan jabatan itu memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.