SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berjaya mengumpul dana sebanyak RM4.74 juta bagi membantu mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya menerusi Tabung Selangor Prihatin yang dilancarkan 4 April lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah yang terkumpul setakat semalam itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin dengan tragedi berkenaan serta usaha pemulihan yang digerakkan kerajaan negeri.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan memainkan peranan dalam usaha pemulihan ini.
“Semoga segala usaha, kerjasama dan semangat solidariti yang terjalin ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat serta menjamin masa depan yang lebih selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Tabung Prihatin Selangor diwujudkan kerajaan negeri bagi menyokong proses pemulihan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas dalam tragedi berkenaan termasuk pemberian bantuan tunai, baik pulih rumah dan penempatan sementara.
Pada 1 April lepas, negara digemparkan dengan kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights yang mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius sehingga menjejaskan 219 rumah di kawasan sekitar.
Dalam hantaran sama, Amirudin turut memaklumkan beliau telah mempengerusikan sesi Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas di Putra Heights kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kerajaan dari Selangor, semalam.
Beliau berkata taklimat itu antara lain bagi memberi gambaran berhubung langkah-langkah segera yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri dalam menangani kesan insiden serta memastikan kebajikan mangsa terus menjadi keutamaan.
Amirudin berkata turut dimaklumkan adalah penamatan operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Putra Heights dan Dewan Camelia yang ditutup secara rasmi pada Jumaat lepas dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya disahkan selamat.
“Mereka yang masih memerlukan penempatan pula telah ditempatkan di kediaman sewaan yang disediakan kerajaan negeri, termasuk melalui platform Airbnb,” katanya.
Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San dilaporkan berkata insiden kebakaran di Putra Heights serta aspek keselamatan zon penampan merupakan antara perkara yang dijangka dibahaskan pada persidangan DUN Julai nanti.