• 2025-07-20 07:50 PM

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-panggilan dan penumpang warga Singapura maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala Skudai, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh, kejadian berlaku pada 11.27 pagi apabila kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebelah kiri lori Mitsubishi Fuso.

“Pemandu disahkan maut di lokasi akibat cedera parah di kepala manakala penumpang lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu lori berusia 28 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Zulhisyam Aziz menerusi 019-7432966. - Bernama