KUANTAN: Kerajaan akan cuba memastikan setiap pelajar dan murid dibekalkan dengan sebuah peranti bagi memudahkan kaedah pembelajaran secara digital, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata biarpun berdepan dengan kekangan kewangan, kerajaan akan cuba melaksanakannya segera mungkin secara berfasa, dijangka mulai tahun ini.

“Setiap pelajar satu tablet, itu hasrat mereka (Kementerian Pendidikan). Saya yakin kaedah baru (pembelajaran menerusi peranti), ia tak dapat dielakkan (dan) saya merasakan pemberian tablet untuk para pelajar dan murid harus merata walaupun kita tahu kekangan kewangan merupakan faktor utama.

“Kita minta buat segera tapi secara berfasa. Sistem telah ada, kaedah pengajaran padagogi telah ada, cuma tablet sahaja kekangannya, jadi kalau dapat dibuat berfasa melalui tahun ini, saya fikir dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, majoriti akan dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.