Your Title

SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan kebajikan kaum India, malah pelbagai program telah dirangka bagi membantu memajukan komuniti itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata setiap program yang telah atau sedang dilaksanakan kerajaan bersifat universal dan meliputi kepentingan seluruh komuniti dalam negara bersesuaian dengan hasrat di sebalik konsep Malaysia MADANI.

Menjadikan kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang sebagai contoh, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata isu yang sekian lama membelenggu negara itu diselesaikan kerajaan tanpa meminggirkan mana-mana kaum, termasuk komuniti India.

“ ... saya tak peduli sama ada dia tauke Melayu, Cina atau India berjaya atau tidak, saya peduli kepada majoriti yang berada di bawah.

“Sebab itu saya kata yang pertama noktahkan kemiskinan dan kebetulan dari segi jumlah (ialah) orang Melayu, tapi dari segi nisbah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang paling banyak mendapat manfaat ialah masyarakat India, saya tidak lihat dari segi kaum kalau mereka miskin tegar, mereka harus dibantu,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa ke-5 dan Sambutan Hari Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

Berhubung soal pendidikan untuk kaum India, Anwar berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan termasuk pembinaan empat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) baharu iaitu sebuah di Selangor dan Perak manakala dua lagi di Negeri Sembilan, yang kesemuanya telah beroperasi Mac lepas.

“Jadi, bagaimana kita kata tiada langsung perkara dibuat untuk kaum India? Itu tak betul ... kemudian ada juga dana tambahan RM30 juta untuk pembangunan SJKT dan RM5 juta untuk pembangunan pendidikan dan kesusasteraan Tamil yang saya umum di Universiti Malaya.

“Untuk Asian Institute of Medical, Science and Technology University (AIMST) dengan syarat ia berikan peruntukan kewangan yang telus saya dah luluskan RM25 juta ... kita juga dalam jemaah Kabinet setuju untuk berikan pelajar-pelajar India masuk ke institusi TVET dengan lebih mudah,“ kata beliau.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan penyertaan komuniti itu dalam bidang pekerjaan, kerajaan juga telah mengadakan rundingan dengan pelbagai entiti swasta membabitkan pemberian latihan, selain turut meningkatkan kemasukan ke syarikat berkaitan kerajaan.

Anwar berkata kerajaan juga telah memperluas fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada kaum India dengan pengumuman dana khas RM50 juta untuk memperkasakan usahawan wanita India menerusi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN) semalam.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bukanlah satu-satunya saluran bagi komuniti India untuk meningkatkan kehidupan mereka.

Justeru, beliau menggesa masyarakat India agar tidak melihat segala-galanya dari sudut kaum semata-mata dan memastikan Kerajaan Perpaduan akan berusaha keras bagi menangani isu yang dibangkitkan komuniti itu.

“Biar saya ingatkan, adakah ini memadai? Tidak. Adakah tindakan ini muktamad? Tidak. Tetapi, inilah prosesnya, fahami setiap masalah yang perlu kita hadapi dalam menangani beberapa suara ekstrem dalam kalangan orang Melayu yang membentuk majoriti ... kita perlu menangani semua isu pada masa yang sama.

“Di mana sahaja saya pergi apabila melawat masyarakat Melayu, saya beritahu mereka kita berada di sini untuk menunjukkan (kepada komuniti lain) contoh yang baik .... Saya ingin buktikan bahawa jika kita mahu memimpin negara, kita perlu berlaku adil kepada semua rakyat,“ katanya.

Konvensyen yang diadakan selama dua hari bermula hari ini itu dihadiri kira-kira 1,500 orang termasuk 250 delegasi luar negara antaranya India, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Jerman, Australia, Bahrin, Arab Saudi, Singapura, Brunei, United Kingdom dan Indonesia.