Komuniti MADANI main peranan bantu jentera kerajaan sebar maklumat sahih - Fahmi

CYBERJAYA: Komuniti MADANI memainkan peranan besar membantu seluruh jentera kerajaan untuk menyampaikan maklumat sahih dan tepat kepada masyarakat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini, beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata justeru, Komuniti MADANI perlu memanfaatkan hubungan sedia ada dengan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) untuk menyebar luas agenda kerajaan.

Fahmi berkata Permukiman Komuniti MADANI (bicarawara) yang dianjurkan sempena majlis pelancaran itu, telah menghimpunkan hampir 2,000 ahli Komuniti MADANI di Semenanjung dan turut melibatkan sesi soal jawab antara ahli dan panelis.

“Kawan kita dalam Komuniti MADANI merupakan mereka dari dalam kalangan akar umbi. Tadi dalam sesi soal jawab mereka telah memberikan beberapa pandangan dan insya-Allah kita akan sampaikan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan, untuk bantu teliti beberapa aspek.

“Rakan-rakan dalam Komuniti MADANI, terus kumpulkan isu yang dihadapi rakyat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk kita berusaha sebagai kerajaan dan ringankan beban hidup rakyat,” katanya.

Komuniti MADANI merupakan badan sukarela pelbagai kaum, yang ditadbir urus oleh Japen bertujuan memupuk nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.

Fahmi dalam pada itu turut mengulangi pendirian dan ketegasan kerajaan dalam menangani masalah media sosial antaranya penyebaran berita palsu, penipuan atau scam dan terkini isu buli siber sehingga ada kes bunuh diri.

Justeru beliau mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din untuk berbuat sesuatu, bagi mengelakkan isu berkaitan media sosial semakin berleluasa.

“Tan Sri (Mohamad Salim), di hadapan semua termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Mohd Zuki Ali (Ketua Setiausaha Negara) dan ahli jemaah menteri, saya arahkan anda untuk berbuat sesuatu.

“Jadi selepas ini, semua platform media sosial harus bertanggungjawab dan insya-Allah kita akan ambil satu tindakan tegas dalam masa beberapa hari ini. Nantikan dan kita lakukan ini demi keselamatan terutama anak-anak dan keluarga.

“Percayalah, hasrat kerajaan adalah untuk menjamin bahawa Internet ini kita bukan hanya lebih murah dan mudah diperolehi, tapi juga lebih selamat untuk kita manfaatkan,” kata Fahmi.

Menyentuh mengenai aspek ekonomi, Fahmi berkata petunjuk ekonomi negara terus memberangsangkan dan optimis bahawa keluaran dalam negara kasar Malaysia, mampu berkembang melebihi unjuran awal empat hingga lima peratus tahun ini.

Beliau berkata demikian susulan unjuran ekonomi negara oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dianggarkan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya.

“Malaysia juga berada di landasan tepat untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan.

“Terbaharu, tindakan JP Morgan menyemak naik penarafan terhadap Malaysia daripada underweight kepada neutral selepas hampir enam tahun, membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam membawa pembaharuan yang mencetuskan keyakinan baru pelabur,” katanya.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata Program Jiwa Merdeka antara kementerian, akan dijadikan salah satu pengisian sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Jalur Gemilang akan dipasang dan dikibarkan di bangunan kerajaan sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, dan saya harap negeri turut melaksanakan program yang sama,” katanya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran oleh Perdana Menteri itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Majlis yang berkonsepkan karnival rakyat dengan kehadiran lebih 8,000 orang pengunjung itu, mendapat kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

Program dimeriahkan menerusi penganjuran Karnival Kita MADANI X HKHM 2024 dengan pengisian reruai Komuniti MADANI X NADI, RIUH X HKHM, perkhidmatan untuk rakyat, pameran pelbagai agensi, jualan keusahawanan, persembahan patriotik, aktiviti interaktif kenegaraan serta demonstrasi pembuatan produk tempatan.

Pada majlis sama, Anwar turut melakukan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang membawa Jalur Gemilang ke seluruh pelosok negara, bagi menyemarakkan lagi sambutan HKHM 2024.

Konvoi melibatkan sejumlah 90 orang peserta dan 65 buah kenderaan daripada Japen, Polis Diraja Malaysia, agensi, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor dan Kelab Suzuki V-Strom Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil - fotoBERNAMA