KUALA LUMPUR: Profesional perpustakaan dari 10 negara anggota ASEAN akan bermesyuarat dan bersidang di sini selama empat hari bermula 16 Jun ini sempena 19th Congress of Southeast Asian Librarians Conference and Meeting (CONSAL Ke-19 2025) bagi berkongsi pengetahuan dan memperkukuh kerjasama serantau.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Edy Irwan Zulkafli berkata pelbagai cabaran dalam bidang perpustakaan serta isu berkaitan di peringkat negara dan serantau akan dibincangkan dalam kongres berprestij itu.
“Kita melihat setiap tahun cabaran dalam bidang perpustakaan semakin kompleks kerana perlu bersaing dengan perkembangan teknologi yang pesat. Namun sebagai pustakawan, kita terus memanfaatkan perpustakaan sebagai medium menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih mudah, cepat dan efisien.
“Platform seperti CONSAL Ke-19 2025 ini amat penting bagi membincangkan isu-isu kepustakawanan di peringkat serantau, sekali gus membolehkan negara yang masih belum mencapai tahap perkhidmatan tertentu mendapatkan panduan dan cadangan yang relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Sesi Taklimat Media mengenai CONSAL Ke-19 2025 di Perpustakaan Negara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Edy Irwan berkata kongres itu akan menampilkan pelbagai sesi ilmiah yang merangkumi pelbagai aspek kepustakawanan serta pembangunan masyarakat termasuk ceramah utama dan sesi pembentangan kertas kerja.
“Kongres ini turut menganjurkan sesi khas perbincangan kerjasama antarabangsa yang akan disertai ketua-ketua delegasi dari negara anggota ASEAN. Setiap negara akan membentangkan Laporan Negara (Country Reports) yang menyentuh perkembangan, cabaran dan inisiatif dalam bidang kepustakawanan serta sains maklumat masing-masing,” katanya.
CONSAL Ke-19 2025, turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran serta pelbagai sesi interaktif serta lawatan perpustakaan dan tempat pelancongan di empat lokasi iaitu Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya dan Negeri Sembilan.
Seramai 1,200 peserta termasuk pengurus maklumat, pustakawan dan pelajar dijangka menghadiri program itu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Merupakan penganjuran kali ketiga selepas edisi pertama pada 1981 dan terakhir pada 1996, kongres yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu mengangkat tema ‘Inclusive Knowledge: Bridging Divides, Empowering All’.