KANGAR: Seorang kontraktor hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh bekas pelumba Moto3 dan Cub Prix negara Elly Idzlianizar Ilias, dua minggu lepas.

Ibrahim Johan, 51, dituduh membunuh Elly Idzlianizar, 40, di simpang tiga Taman Behor Gonchar Jaya di sini antara 10.30 malam 10 Sept hingga 12.01 tengah malam 11 Sept 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Ibrahim hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah tidak membenarkan lelaki itu diikat jamin dan menetapkan 30 Dis untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po’ad, manakala Ibrahim diwakili Peguam Tan Yen Sing.

Elly Idzlianizar terkenal dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan kerana mula mencipta nama di Grand Prix Malaysia pada 2009 dan menjuarai pelbagai perlumbaan bersama pengeluar Yamaha, Honda dan Suzuki.