PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji semula beberapa akta melibatkan e-dagang bagi mengemas kini undang-undang sedia ada selaras dengan perkembangan pesat industri berkenaan.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata kajian itu meliputi Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.

“Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4 RMK-12) ini telah bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Mac 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan TikTok Shop Seller Summit 2024 di sini hari ini.

Armizan berkata sebanyak 30,721 aduan diterima KPDN setakat bulan lepas dengan 7,243 atau 23.57 peratus daripadanya adalah melibatkan transaksi dalam talian, berbanding 14,440 aduan berkaitan transaksi dalam talian sepanjang 2023.

“Trend peningkatan berlaku mungkin disebabkan faktor peningkatan pembeli dan penjual dalam e-dagang.

“Apa pun keadaannya, tanggungjawab kita di KPDN adalah untuk tangani sebarang aduan dan sebab itu kita mahu dengan adanya kerangka perundangan yang lebih komprehensif, maka hak dan kepentingan semua pihak iaitu pengguna dan penjual dapat kita sama-sama pelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata sebagai peneraju Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), KPDN turut menggerakkan kempen terbabit secara dalam talian termasuk bekerjasama dengan pengendali platfom TikTok Malaysia.

Beliau berkata melalui usaha berkenaan, TikTok Shop Malaysia akan mewujudkan laman promosi khas khusus untuk pengiklanan dan promosi produk barangan Malaysia.

Menerusi program di TikTok itu, katanya sebanyak 8,000 usahawan tempatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meliputi 300,000 ‘stock keeping unit’ (SKU) disasarkan.

“Sebagai langkah promosi, KBBM melalui TikTok Shop akan menyediakan baucar diskaun atas barangan terpilih dan memberi penghantaran percuma kepada pengguna.

“Selain itu program latihan atau bengkel berkaitan keusahawanan akan diadakan kepada pengusaha yang mengambil bahagian dalam kempen bersama TikTok Shop ini,” katanya.