KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 20,000 liter minyak diesel dalam serbuan terhadap sebuah kapal tunda di jeti nelayan dekat Pulau Duyong, di sini semalam.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata serbuan pada 10 malam itu dijalankan oleh 10 pegawai penguat kuasa KPDN bersama lapan anggota polis selepas risikan selama dua minggu.

Beliau berkata selain rampasan, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai pekerja kapal tunda terbabit turut ditahan.

“Maklumat awal mendapati modus operandi kegiatan itu ialah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda.

“Minyak diesel itu akan diisi ke dalam tangki kapal yang telah diubah suai dengan tangki tambahan. Bahan api itu kemudian dijual semula kepada pembeli pasaran gelap di sekitar kawasan perindustrian berdekatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saharuddin pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk penyimpanan diesel di dalam kapal.

Beliau berkata keseluruhan rampasan termasuk kapal tunda dan minyak diesel dianggarkan bernilai RM312,000 manakala kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.