KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini menjalin kerjasama dengan MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Syarikat Bubbles O2 untuk menawarkan pengalaman baharu kepada penumpang koc kelas perniagaan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan KTMB untuk memastikan penumpang menerima perkhidmatan yang berkualiti dan inovatif.
“Kami memahami bahawa keselesaan dan hiburan interaktif adalah antara aspek utama yang menjadi keutamaan penumpang, terutama bagi perjalanan jarak jauh.
“Dengan adanya MYTV dan Bubbles O2, kami berharap penumpang ETS Kelas Perniagaan akan menikmati perjalanan yang lebih selesa sambil melayari program serta rancangan yang disediakan melalui sistem AVOD (Audio Visual On Demand),” katanya semasa berucap pada majlis pertukaran perjanjian kerjasama tersebut, di sini.
Pertukaran perjanjian kerjasama ini disempurnakan oleh Mohd Zain yang mewakili KTMB, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Mohamad Helmi Harith, dan Pengerusi Bubbles O2 Arifin Marzuki.
Menerusi kerjasama ini, MYTV akan memperkenalkan perkhidmatan saluran televisyen dan radio serta hiburan interaktif melalui aplikasi MYTV Mana-Mana di dalam sistem AVOD ETS, manakala Bubbles O2 akan membekalkan air mineral beroksigen semula jadi untuk penumpang.
Menurut Mohd Zain, perkhidmatan tambahan ini bakal memberikan pengalaman perjalanan tren yang moden dan dinamik, sejajar dengan komitmen KTMB dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
“Kami di KTMB akan terus komited menambah baik perkhidmatan kami melalui inovasi dan kerjasama strategik seperti ini.
“Harapan kami, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan penumpang, malah membina imej KTMB sebagai penyedia perkhidmatan tren berkualiti tinggi dan yang sentiasa mendahului dalam memperkenalkan pengalaman baru kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.