• 2025-07-20 10:54 AM

KUALA LUMPUR: Empat kawasan di Negeri Sembilan dan Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi ini, menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Nilai dan Port Dickson di Negeri Sembilan masing-masing merekodkan bacaan IPU 156 dan 153, manakala Johan Setia dan Banting di Selangor mencatatkan IPU 155 dan 151.

“Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, dan melebihi 300 berbahaya,“ jelas laporan APIMS.

Seramai 58 stesen lain menunjukkan bacaan sederhana, termasuk Putrajaya (99), Temerloh (98), dan Petaling Jaya (88). Enam lokasi di Sarawak dan Sabah merekodkan IPU baik antara 37 hingga 49.

Data ini dikemaskini setiap jam melalui 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara - Bernama